Kepulauan adalah wilayah asas ketamadunan budaya tempatan. Pola pemikiran masyarakat kepulauan di Malaysia dalam mendepani dasar negara berkaitan kebudayaan kebangsaan tidak begitu terserlah dalam kajian-kajian lepas. Makalah ini, justeru, cuba menyerlahkan aspek ini dengan meneliti data kuantitatif via kaedah tinjauan lapangan. Borang tinjauan lapangan dimanfaatkan bagi mendapatkan refleksi sebenar orang awam berkaitan kefahaman, persepsi, dan keberkesanan dasar kebudayaan kebangsaan. Seramai 450 orang responden berlainan etnik, agama, umur serta latar sosial telah dipilih bagi mewakili populasi penduduk pulau di seluruh Malaysia. Responden berumur 20 hingga 49 tahun adalah 90% daripada jumlah keseluruhan sampel. Premis pemilihan kumpulan ini tinggi disebabkan mereka adalah kategori peserta aktif dalam pembangunan negara. Kelompok peserta berumur 50 hingga 69 tahun pula merupakan 10% daripada jumlah keseluruhan sampel. Kumpulan ini adalah golongan yang dianggap berpengalaman tinggi dalam kehidupan kerana terlibat dalam pembangunan negara secara langsung dan tidak langsung.Kaedah Strutural Equation Model dan perisian Smart Partial Least Square 3.0 dimanfaatkan sepenuhnya dalam kajian ini. Hasil dapatan kajian inimenyerlahkan hakikat bahawa masyarakat kepulauan memahami dan menerima dengan baik dasar di Malaysia yang berkaitan kebudayaan kebangsaan yang telah diperkenalkan sejak 1971 (Dasar Kebudayaan Kebangsaan). Kajian ini turut menyerlahkan sebuah model pola pemikiran masyarakat kepulauan Malaysia berkaitan kebudayaan kebangsaan. Model Pola Pemikiran Budaya Masyarakat Kepulauan Malaysia memerihalkan impak sosial masyarakat Malaysia berkaitan aspek perpaduandan jati diri. Kajian ini memberi implikasi penting terhadap kerangka teori kebudayaan kebangsaan yang pragmatik di Malaysia, khususnya melalui Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN2021) serta penerapan agenda nasional berkaitan pemodenan, pendidikan, perpaduan dan kebudayaan. Kata kunci: budaya; DAKEN2021; kebudayaan kebangsaan; masyarakat kepulauan; model pola pemikiran