Dunia pendidikan telah mengalami transformasi yang ketara seiring dengan kemajuan teknologi. Salah satu pendekatan inovatif terkini yang semakin mendapat perhatian di peringkat global ialah pembelajaran berasaskan metaverse menggunakan aplikasi seperti Zepeto, Roblox dan Minecraft. Kajian ini bertujuan untuk menilai keberkesanan aplikasi Zepeto sebagai platform dalam meningkatkan pencapaian dan minat murid terhadap subjek Sains di kalangan murid sekolah rendah. Kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dan kajian kuasi-eksperimen yang menggunakan reka bentuk ujian pra-pasca satu kumpulan. Seramai 29 orang murid dari sebuah sekolah rendah di Negeri Sembilan dipilih sebagai responden kajian melalui persampelan mudah. Analisis deskriptif dan inferensi dijalankan menggunakan perisian Pakej Statistik Sains Sosial (SPSS) versi 26. Ujian-t dua sampel bersandar menunjukkan skor ujian pasca secara signifikan lebih tinggi berbanding dengan skor ujian pra, t(28) = -9.581, p < 0.05. Terdapat peningkatan pencapaian skor ujian murid dengan perbezaan min skor antara ujian pasca dan ujian pra sebanyak 13.79. Analisis deskriptif pula menunjukkan tahap minat murid dalam pembelajaran berasaskan metaverse melalui aplikasi Zepeto berada pada tahap yang tinggi. Analisis ujian korelasi Pearson menunjukkan wujudnya hubungan linear positif yang sederhana dan signifikan antara skor ujian pasca dan minat murid [r(27) = 0.429, p < 0.05]. Kajian ini menunjukkan bahawa aplikasi Zepeto berpotensi digunakan sebagai salah satu pendekatan pembelajaran yang dapat meningkatkan pencapaian dan minat murid sekolah rendah terhadap subjek Sains. Penggubal dasar dan para pendidik boleh memanfaatkan dapatan kajian ini untuk meningkatkan kualiti pembelajaran Sains di kalangan murid sekolah rendah di Malaysia melalui penerapan teknologi metaverse dalam kurikulum pendidikan Sains di masa depan.