Penulisan rencana akhbar dalam talian merupakan salah satu medium penyampai maklumat yang pantas dan mudah pada masa kini. Oleh yang demikian, informasi tentang masalah kesuburan manusia merupakan salah satu rencana dalam bidang perubatan yang boleh diakses di internet melalui laman sesawang yang tersedia. Peranan penggunaan laras bahasa begitu penting untuk menentukan peranan penulis sesuatu rencana, khalayak pembaca dan maklumat penting yang perlu diketahui. Hal ini kerana, laras bahasa mempunyai keupayaan yang besar dalam menyampaikan maklumat bidang yang berbeza kepada masyarakat. Maka, kajian kertas kerja ini memfokuskan penggunaan laras bahasa dalam bidang perubatan kesuburan manusia yang disampaikan melalui akhbar dalam talian. Kemudian, kajian ini bertujuan memperjelaskan penggunaan laras bahasa yang digunakan dalam bidang perubatan kesuburan manusia. Selain itu itu, kajian ini mengaplikasikan Teori Ure & Ellis (1977) yang mendefinisikan laras bahasa sebagai pola-pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Seterusnya, data kajian yang digunakan dalam analisis data adalah lima rencana dalam akhbar dalam talian yang ditulis dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana, rencana ini merupakan sumber maklumat kepada pembaca di Malaysia untuk mengetahui tentang masalah yang melibatkan kesuburan manusia. Adalah diharapkan kajian yang dijalankan ini dapat memberikan pemahaman tentang peri pentingnya penggunaan laras bahasa dalam sesuatu penulisan rencana akhbar dalam talian mengikut bidang tertentu. Selain itu, kajian ini dapat menjadi rujukan untuk kajian berkaitan laras bahasa yang melibatkan bidang perubatan di masa akan datang.