Pengujian troponin melalui aplikasi point-of-care testing (POCT) adalah bertujuan untuk menambahbaik masa pengujian dan membantu dalam penjagaan dan pengurusan sindrom koronari akut. Kajian ini dijalankan untuk menilai prestasi analitikal dan korelasi HUBI-QUANPro troponin I dengan instrumen makmal sedia ada iaitu high-senstivity troponin I, Architect Abbott. Faktor yang dikaji termasuk ujian ketepatan dengan menggunakan bahan kawalan kualiti (2 aras) dan kajian korelasi yang melibatkan perbezaan sampel (whole blood, plasma dan serum) dan metodologi (immunochromatographic dan chemiluminescent immunoassay). Sejumlah 30 bahan kualiti yang digunakan untuk kajian ketepatan dan 42 sampel serum dan EDTA untuk kajian korelasi. Tahap ketepatan adalah 10.9% dan 6.7% pada kepekatan 0.91 ng/mL dan 2.66 ng/mL. Analisis regresi bagi perbezaan sampel (plasma vs whole blood) dalam HUBI-QUANPro menunjukkan cerun 0.935, r=0.991 (p=<0.001). Korelasi HUBI-QUANPro dan Architect Abbott (whole blood, plasma vs serum) mempunyai kecerunan regresi 0.205, r=0.963 (whole blood) dan 0.192, r=0.954 (plasma), p=<0.001. HUBI-QUANPro troponin I adalah analyser yang sensitif, cepat, tepat dan mempunyai prestasi analitikal yang boleh sebanding dengan instrumen makmal bagi pengukuran troponin I jantung. Ia dapat berfungsi sebagai peranti POCT yang baik dalam pengurusan penjagaan akut berkaitan dengan masalah jantung.