Elemen pengurusan seperti strategi sistem maklumat dan strategi pengurusan organisasi mempengaruhi corak penggunaan sesuatu sistem maklumat. Di samping itu penjajaran strategik di antara kedua-dua elemen tersebut juga mempengaruhi corak penggunaan sesuatu sistem maklumat di sesebuah organisasi. Kajian ini melihat kepada pengaruh elemen-elemen pengurusan tersebut terhadap kejayaan sistem maklumat. Sampel kajian terdiri daripada 375 orang guru yang bertugas di sekolah menengah di daerah Hulu Perak, daerah Kuala Kangsar, daerah Muallim, dan daerah Kinta. Data dikumpul melalui borang soal selidik, dan dianalisa mengguna statistik diskriptif, korelasi, dan analisis regresi berganda langkah demi langkah. Dapatan menunjukkan strategi sistem maklumat, strategi pengurusan organisasi serta penjajaran strategik di antara strategi sistem maklumat dengan strategi pengurusan organisasi mempunyai hubungan yang kuat dengan kejayaan sistem maklumat, serta merupakan peramal penting yang mempengaruhi kejayaan sistem maklumat. Oleh itu, bagi memastikan kejayaan sistem maklumat yang digunakan, organisasi perlulah memberi tumpuan kepada perancangan berkaitan dengan strategi sistem maklumat dan strategi pengurusan organisasi serta penjajaran strategik di antara strategi sistem maklumat dan strategi pengurusan organisasi. Penemuan kajian ini dapat dimanfaatkan oleh para penyelidik dalam bidang ini dan juga kepada para pelaksana sistem maklumat di organisasi. Penemuan ini dapat dijadikan panduan kepada pihak-pihak yang terlibat dalam merancang dan mengatur strategi agar sistem maklumat dapat diguna secara efektif dan efisyen serta dapat membantu meningkatkan pencapaian organisasi.