Artikel ini mengkaji corak ruang tempat tinggal golongan B40 di Lembah Klang bagi memahami makna sosial daripada reka bentuk ruang domestik. Kajian ini tertumpu kepada tafsiran hubungan ruang dari segi logik sosial untuk mengobjektifkan corak ruang yang subjektif dalam pembangunan ruang domestik. Berdasarkan kaedah matematik dalam teknik <i>space syntax</i>, makalah ini menganalisis struktur sosial ruang di dalam rumah tertentu yang disepadukan atau dipisahkan sebagai petunjuk kesibukan ataupun ketenangan ruangan yang bersambung dalam sistem ruang. Nilai integrasi ialah kunci dalam kajian ini bagi mentafsir ruang domestik dan untuk menunjukkan fungsi ruang domestik secara sosial di peringkat kolektif.