Guru merupakan individu yang berperanan dalam menghulurkan bantuan kecemasan melibatkan resusitasi kardiopulmonari (CPR) di sekolah. Tahap ketekalan yang tinggi adalah penting bagi melaksanakan resusitasi berkesan. Kajian ini dijalankan untuk menentukan tahap ketekalan terhadap pengetahuan CPR dalam kalangan pelajar pendidikan pada sebelum dan selepas latihan serta minggu kelapan (M08) dan 14 (M14). Reka bentuk kuasi eksperimental dengan persampelan mudah digunakan dalam memilih 41 orang pelajar Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Fakulti Pendidikan dari sebuahUniversiti Awam (UA) sebagai sampel kajian. Soalan beraneka jawapan (MCQ) daripada American Heart Association (AHA) telah digunakan sebagai ujian pra, pasca serta penilaian semula pada (M08) dan (M14) bagi mengukur tahap ketekalan. Ujian t-sampel berpasangan menunjukkan peningkatan yang signifikan terhadap min skor pasca sejurus selepas intervensi dijalankan, (M = 16.20), t (40) = -18.56, p < .001, d = 3.91 berbanding ujian pra dengan nilai min skor (M = 8.02). Ujian ANOVA satu hala dengan pengukuran berulang menunjukkan penurunan terhadap tahap ketekalan dengan skor penilaian semula (M08) (M= 13.06) p < .001 dan sedikit peningkatan pada (M14) (M=15.74) p < .001. Tahap pengetahuan CPR dalam kalangan pelajar adalah memuaskan setelah melalui latihan intervensi, namun tahap ketekalan yang rendah menggambarkan keperluan setiap pelajar untuk menjalani latihan pengulangan secara berkala.