Bukit Fraser terletak di kawasan berbukit di Malaysia, kewujudan tanah runtuh pendam lama menimbulkan kebimbangan. Objektif kajian ini adalah untuk memperoleh pemahaman menyeluruh tentang keadaan tanah runtuh pendam lama melalui integrasi empat pendekatan utama iaitu analisis topografi, pemetaan lapangan, analisis petrografi dan kaedah keberintangan geoelektrik. Gabungan kesemua kaedah ini bertujuan untuk mengumpulkan data yang diperlukan bagi menggambarkan dengan tepat morfologi, sifat geologi dan keadaan subpermukaan. Lima garis tinjauan keberintangan geoelektrik telah dijalankan di pelbagai lokasi di sekitar kawasan Bukit Fraser. Bukit Fraser dicirikan oleh batuan granit sebagai unit geologi utama. Jenis batu, jenis tanah, tanah baki, zon tanah runtuh, zon sesar dan kehadiran jasad air yang ditentukan berdasarkan nilai keberintangan iaitu batu dasar granit (> 2000 Ωm), jenis tanah termasuk lempung dan lodak (50 - 200 Ωm), zon tanah runtuh (<100 Ωm), tanah baki (200 - 2000 Ωm), zon sesar (200 - 500 Ωm) dan jasad air (<100 Ωm). Zon tanah runtuh pendam lama ditafsirkan berdasarkan peta topografi dan data Interferometric Synthetic Aperture Radar (ifSAR). Sebanyak 81 lokasi tanah runtuh terletak di zon tanah runtuh pendam lama direkodkan dari Januari 2021 hingga Mac 2022. Analisis petrografi dilakukan ke atas lima sampel batuan menunjukkan bahawa canggaan berlaku pada batuan, mineral yang terluluhawa, feldspar dihancurkan dan kuarza dihancurkan menjadi butiran kecil. Kesimpulannya, analisis topografi menunjukkan zon tanah runtuh pendam lama di kawasan kajian mengikut ciri seperti kerawang di bahagian kepala, cerun cekung di bahagian tengah serta topografi cembung dan morfologi seperti bentuk sudu. Maklumat ini membantu dalam kerja lapangan, analisis petrografi dan kaedah keberintangan geoelektrik. Analisis petrografi membantu memahami canggaan dan mineral. Kajian keberintangan geoelektrik telah dijalankan menggunakan zon yang ditafsirkan, tetapi hasil profil subpermukaan menunjukkan hanya garis tinjauan FH2 dan FH4 terletak di dalam zon tanah runtuh pendam lama.