Pentashihan mushaf memerlukan penelitian yang tinggi dan sangat penting di dalam agama Islam kerana ia melibatkan kesucian dan kemukjizatan Al-Quran. Susulan itu, kawalan kualiti pentashihan mushaf perlu berada pada tahap sifar cacat dan sempurna. Namun begitu, setakat kajian ini dijalankan, belum ditemui satu kaedah khusus yang boleh dijadikan panduan lengkap pentashihan mushaf secara pratikal. Kajian lepas menunjukkan bahawa garis panduan pentashihan mushaf yang sedia ada tidak memperincikan praktikal pentashihan bagi setiap huruf Al-Quran. Oleh itu, kajian ini memperkenalkan ‘Kaedah Itqan’ bagi pentashihan mushaf secara manual. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah dengan penandaan bagi setiap huruf. Terdapat tiga elemen asas yang perlu disemak dalam proses pentashihan mushaf iaitu huruf, titik huruf dan barisnya. Metode yang digunakan dalam pembinaa kaedah Itqan adalah hasil gabungan kajian kepustakaan, pengalaman dan rujukan pakar penyemak al-Quran dan pengalaman pengamal pengurusan kualiti. Kaedah Itqan telah cuba diaplikasikan kepada sebuah draf akhir mushaf yang telah melalui empat fasa pentashihan. Berdasarkan analisis data menggunakan jadual Pivot dan rumus pengiraan Kecacatan Per Sejuta Peluang (DPMO) menunjukkan hasil penulisan draf mushaf tersebut adalah 99.6% bebas kecacatan, tahap sigma 3.11, kecacatan per sejuta peluang 3973.5, 33.3% (n=24), kesalahan tertinggi dikesan adalah pada huruf nun, 75% (n=6) melibatkan titik pada huruf nun, kos rendah kualiti RM 35,280. Kajian rintis ini membuktikan keperluan penambahbaikan kaedah pentashihan mushaf yang digunapakai pada masa kini. Salah satu alternatif kepada kaedah manual sedia ada adalah dengan menggunakan ‘Kaedah Itqan’. Selain itu, kaedah ini juga berpotensi untuk dimajukan dengan menggabungkannya dengan teknologi kepintaran buatan pengecaman imej.