Penggunaan aplikasi mobile multimedia dalam pendidikan kini mendapat perhatian semua pihak dan menghasilkan interaksi hubungan murid dan guru. Penggunaan aplikasi mudah alih dalam pengajaran dan pembelajaran dipercayai dapat menyelesaikan banyak masalah yang melibatkan matematik dan mengubah persepsi murid terhadap pemahaman algebra pecahan yang dianggap rumit dan membosankan. Kesukaran ini lebih terkesan kepada murid yang mempunyai masalah pembelajaran berbanding dengan murid biasa. Rasional kajian untuk meneroka penggunaan aplikasi mobile multimedia interaktif berasaskan permainan (P-PKSSMPK) sebagai alat bantu pengajaran untuk meningkatkan kemahiran pemikiran algebra pecahan dan pencapaian murid masalah pembelajaran dalam topik pecahan. Aplikasi mobile P-KSSMPK digunakan sebagai bahan bantu pengajaran bagi memudahkan murid memahami kemahiran pembelajaran pecahan. Penyelidikan ini melibatkan penguasaan kemahiran pemikiran algebra pecahan dan pemahaman dalam pengajaran dan pembelajaran topik pecahan bagi murid masalah pembelajaran. Objektif kajian yang pertama ialah merekabentuk dan membangunkan aplikasi mobile multimedia interaktif dengan menggunakan model Prototaip Pantas (menilai, menentukan objektif, mereka bentuk dan membangunkan prototaip, pelaksanaan prototaip, penilaian dan pemurnian). Objektif kajian kedua pula, mengkaji kesan aplikasi mobile P-KSSMPK melalui sembilan adengan pengajaran dalam membantu meningkatkan pemahaman dan penguasaan kemahiran pemikiran algebra pecahan bagi murid masalah pembelajaran. Reka bentuk kuasi-eksperimen digunakan ke atas kumpulan kawalan dan kumpulan rawatan di mana setiap responden diberi ujian pra, rawatan, dan ujian pasca. Kajian ini melibatkan 152 orang murid masalah pembelajaran dari sepuluh sekolah berbeza di daerah kinta utara di Perak. Dapatan kajian akhir mendapati bahawa pembelajaran menerusi aplikasi mobile P-KSSMPK berjaya mempertingkatkan tahap penguasaan kemahiran dan pemahaman pecahan. Min keputusan pencapaian ujian pra adalah 44.59 (sisihan piawai: 4.233) bagi kumpulan rawatan manakala min purata bagi ujian pasca meningkat sebanyak 65.88 (sisihan piawai: 21.520) bagi kumpulan rawatan. Justeru, kajian terhadap pembelajaran topik pecahan perlu diteruskan dengan melibatkan sampel kajian yang lebih besar supaya penglibatan murid dalam aktiviti pembelajaran pecahan dapat dipertingkatkan.