Hubungan makna antara unit pembayang dan maksud telah banyak dibincangkan oleh sarjana, namun belum lagi difahami sebagai hasil penaakulan analogi Melayu. Kekurangan ini akan ditangani dalam artikel ini yang tujuannya untuk membentuk penaakulan pantun agar dapat dikemukakan dan dijelaskan, sekali gus mengesahkan bahawa pantun ialah bahan dan tradisi logik Melayu dalam sejarah keilmuan Melayu. Keberadaan logik pantun dapat dibuktikan melalui keberadaan "pantun yang cukup elok" menurut pengelasan Za'ba, dan skopnya dicadangkan terdiri daripada lima, iaitu (1) peri alat tahu (yang mengungkapkan unit pembayang dan maksud), (2) peri objek tahu (isi unit pembayang dan maksud), (3) peri perbahasan atau kebolehanalogian (unit pembayang berhubungan secara analogi dengan unit maksud serta punca-punca kegagalannya), (4) peri penaakulan analogi (bentuk dan jenis analogi yang digunakan dalam penggubahan pantun), dan (5) peri falsafah penaakulan (justifikasi tentang keunikan dan kelebihan pantun bertaakul secara analogi). Berdasarkan pantun bertulis terawal dari tahun 1371 M, sejarah bertulis logik pantun secara khusus dan sejarah logik Melayu secara umum sepanjang 650 tahun dapat dibina semula menurut kerangka skop logik pantun yang dicadangkan artikel ini.