Peradaban Melayu memanifestasikan falsafah kehidupan mereka ke dalam bentuk sebuah kota. Kerajaan Melayu agraria mengutamakan ekonomi pertanian dan bertempat di sepanjang sungai. Manakala kerajaan Melayu maritim pula yang melaksanakan perdagangan di pesisiran laut. Kedua-dua jenis kerajaan dalam peradaban Melayu ini membina kota mereka berlandaskan kepada keperluan setiap kerajaan. Seni ukiran merupakan antara salah satu unsur terpenting dalam aspek estetika Peradaban Melayu. Lima jenis motif yang biasa digunakan adalah flora, fauna, kosmos, geometri dan khat. Seni ukiran ini berkonsepkan keseimbangan alam daripada aspek komposisi, pemilihan motif dan bentuk ukiran. Nilai-nilai yang diterapkan ialah penghormatan kepada sesama manusia, alam dan menyingkir sifat sombong yang diwakili dengan gaya daun yang sentiasa menunduk ke bumi. Prinsip kelestarian alam dan hubungan harmoni antara manusia dan alam diterapkan melalui pantang-larang dan adat dalam pemilihan kayu yang akan ditebang, jenis-jenis kayu dan waktu pokok boleh ditebang. Masa lapang orang Melayu pula digunakan untuk menghasilkan peralatan rumah dan keperluan harian, menghasilkan alat permainan kanak-kanak dan peralatan-peralatan lain. Kota Melayu Melaka yang merupakan model Bandar Melayu dibina berasaskan falsafah Islam tidak lari daripada memaparkan unsur-unsur keislaman dalam seni binanya. Konsep pembandaran Islam di Alam Melayu pula merujuk kepada struktur binaan bandar atau kota yang kompleks yang lengkap dalam segala aspek seperti unsur pentadbiran,ekonomi mahupun agama, seperti yang terdapat dalam pusat kota Kesultanan Melayu Melaka.