“…Tambahan pula, kepentingan pelaksanaan DBL turut disokong menerusi dapatan kajian tinjauan awal yang dijalankan oleh pengkaji terhadap 92 orang guru Sejarah yang telah mengakui bahawa pelaksanaan DBL dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah adalah berupaya untuk meningkatkan kemahiran pemikiran sejarah (97.83 peratus), memberi peluang untuk meneroka bukti sejarah (96.00 peratus), memberi gambaran menyeluruh tentang sesuatu peristiwa sejarah dengan jelas (95.65 peratus), membantu menambahkan pengetahuan murid tentang ilmu sejarah (93.48 peratus), membolehkan isi kandungan pengajaran dapat disampaikan dengan mudah dan menimbulkan minat dan motivasi untuk belajar sejarah (93.47 peratus) dan menerangkan konsep dan fakta sejarah dengan lebih mudah (91.30 peratus) (Kaviza Manar Karam, 2020;Kaviza, Rahim & Bukhari, 2018). Sungguhpun pelaksanaan DBL didapati memberikan banyak manfaat dalam proses pengajaran dan pembelajaran Sejarah, namun timbul persoalan tentang penggunaan pendekatan sumber pelbagai dalam DBL yang berkesan untuk meningkatkan pengetahuan sejarah dan kemahiran pemikiran sejarah dengan lebih baik selaras dengan perkembangan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam pendidikan Sejarah yang melibatkan aspek pengintegrasian sumber-sumber visual, video, audio dan sebagainya yang masih belum diketahui (Britt & Rouet, 2011;Donnelly, 2018;Merkt, Werner & Wagner, 2017;Moser, 2013;Nokes, 2014;Reisman, 2012b).…”