Nabi Muhammad s.a.w. merupakan seorang yang maksum dan bebas daripada melakukan dosa. Justeru, kepimpinan Baginda perlu dijadikan contoh dan garispanduan bagi umat Islam tidak kira di mana mereka berada. Kajian ini berbentuk penyelidikan kuantitatif bertujuan untuk meninjau kefahaman anggota KAGAT mengenai kepimpinan strategik Rasullah SAW dalam peperangan Badar. Daripada kajian literatur, didapati sebanyak sebelas strategi kepimpinan Baginda iaitu berdoa dan bermunajat, motivasi jihad, melakukan mesyuarat tergempar, qiamullail, mengeratkan hubungan ukhuwah, melantik pimpinan sementara, menghantar beberapa pasukan dan unit perisik, mewujudkan perjanjian perdamaian dan perpaduan, memahami faktor geografi lokasi peperangan, mengkaji kekuatan musuh dan kreatif dalam merencana teknik peperangan terkini. Satu soalselidik telah disediakan dan dihantar kepada anggota KAGAT untuk melihat sejauhmanakah pemimpin strategik mereka melaksanakan strategi peperangan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. Sebanyak 151 soalselidik yang telah dilengkapkan berjaya dikutip daripada mereka. Kajian telah mendapati bahawa majoriti responden berpendapat amalan qiamullail merupakan amalan yang paling dilaksanakan oleh pemimpin strategik mereka dan ini dituruti dengan berbaiah (berjanji setia) dengan para sahabat untuk sama-sama berjuang dan mempertahankan kebenaran serta membentuk pemimpin pelapis. Ini menunjukkan bahawa tiga amalan ini merupakan amalan penting bagi memastikan kejayaan dapat diperolehi.