Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keutuhan hubungan awam-tentera (strong civil-military relationship SCMR) pada tahap yang memberangsangkan. Segala polisi dan dasar berkaitan pertahanan negara melalui SCMR dilihat amat mesra dengan komposisi masyarakat berbilang kaum yang wujud di Malaysia. Maka, kewujudan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) merupakan salah satu manifestasi gerak kerja SCMR untuk menggalakkan rakyat Malaysia bersama-sama berganding bahu mempertahankan kedaulatan negara. Namun, konsep HANRUH tersebut kurang mendapat perhatian dalam kalangan rakyat disebabkan lemah daripada sudut hebahan dan promosi yang menimbulkan persoalan sejauh manakah SCMR di Malaysia dianggap utuh tanpa melibatkan rakyat dalam perlaksanaannya? Objektif kajian adalah untuk membincangkan konsep SCMR dan HANRUH secara umum dan pendekatan SCMR dalam menggalakkan penglibatan rakyat terhadap HANRUH. Data kajian diperolehi menerusi kaedah kepustakaan yang melibatkan penganalisaan sumber-sumber seperti buku, jurnal, majalah ilmiah, tesis, laman sesawang dan temu bual responden. Kajian ini mendapati bahawa SCMR merupakan faktor penting di dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara di samping juga dapat memberi implikasi bersifat galakan terhadap penglibatan rakyat di dalam sistem pertahanan negara khususnya melalui pelaksanaan konsep HANRUH.