Menelusuri arus pemodenan yang semakin berkembang pesat menjadikan interaksi manusia menjadi lebih dinamik. Perubahan drastik tersebut dirasakan dalam keseluruhan aktiviti manusia seperti pendidikan, ekonomi dan sosial melibatkan media dan teknologi. Generasi Z yang dianggap sebagai warga digital sememangnya tidak asing dalam penggunaan platform digital dalam pelbagai kaedah. Kesan daripada hal tersebut telah menjadi pendorong terhadap keperluan untuk melihat tahap literasi media remaja daripada aspek kewarganegaraan digital. Penyelidikan ini bertujuan untuk mengukur tahap pengetahuan, kemahiran dan nilai kewarganegaraan digital remaja 14 tahun di Malaysia. Kajian ini memfokuskan lapan elemen kewarganegaraan digital berdasarkan konsep Kerangka Kerja Kecerdasan Digital (DQ), iaitu identiti digital, penggunaan digital, keselamatan digital, pengawasan digital, emosi kecerdasan digital, komunikasi digital, literasi digital dan hak digital. Kaedah kuantitatif secara tinjauan menggunakan instrumen soal selidik telah dijalankan terhadap 601 pelajar di beberapa buah negeri di Malaysia menggunakan platform Google Form. Hasil analisis menggunakan sistem pemarkahan Child Online Safety Indeks (COSI) mendapati tahap pengetahuan remaja di Malaysia berada pada tahap yang baik. Manakala, tahap kemahiran dan nilai menunjukkan kelemahan dalam beberapa aspek. Secara keseluruhannya, tahap kewarganegaraan digital dalam kalangan remaja di Malaysia perlu dipertingkatkan lagi kerana kecenderungan untuk terdedah kepada risiko jenayah siber masih pada tahap yang tinggi.