Kesantunan Melayu merupakan kesantunan yang digunakan dalam masyarakat Melayuterikat dengan norma dan nilai masyarakat itu sendiri. Kesantunan Melayu (KM) merupakan hasil proses penggabungan dan modifikasi model Asmah (2000), Awang (2007) dan Tenas (2011). KM ini terbentuk daripada tiga faktor, iaitu peranan, kuasa dan perbezaan taraf sosial (PKS), tajuk (T) dan peraturan (Per.). Selain dari itu, faktor air muka (maruah) tercakup dalam PKS. Kajian ini menggunakan KM untuk menganalisis konteks perbualan struktur isi pemeran komunikasi dalam rancangan bual bicara bertajuk "Celik Mata, Reset Minda Orang Yang Tenang" yang diterbitkan oleh radio IKIM.fm. Pemeran komunikasi terdiri dari pengacara (PC), tetamu undangan (TU), pemanggil (PG) dan soalan FB (FB). Dalam struktur ini terdapat 16 konteks perbualan dengan 484 dialog. Analisis yang dilakukan mempunyai dua objektif, iaitu pengaplikasian KM dan kecenderungan penggunaan KM oleh pemeran. Kajian ini menggunakan kaedah analisis teks dan analisis kuantitatif. Dapatan analisis memperlihatkan aplikasi variasi KM, iaitu KM lengkap PKS+T+Per. dan tidak lengkapmelibatkan dua KM dan satu KM. Dapatan analisis memperlihatkan TU cenderung menggunakan faktor PKS+T dan PKS+T+Per. PC pula cenderung terikat dengan faktor Per. Sementara PG terikat dengan faktor T dan Per. dan FB, yang memperlihatkan kecenderungan faktor T+Per. Ini memperlihatkan bahawa KM diaplikasikan oleh pemeran komunikasi sesuai dengan peranan mereka dalam rancangan tersebut. Kesimpulannya KM dikawal secara mutlak oleh konteks dan pemeran komunikasi.