Kebanyakan khalayak sering mempersoalkan pentingnya mempelajari kesusasteraan Melayu dalam kehidupan. Dengan anggapan kebanyakan khalayak berasa tidak penting mempelajari kesusasteraan Melayu kerana tidak ada nilai dalam kehidupan, akibatnya kesusasteraan Melayu dipinggirkan. Namun pada hakikatnya, banyak ilmu yang dapat diperoleh apabila mempelajari kesusasteraan Melayu. Antaranya ilmu perubatan, perundangan, adat istiadat, kebudayaan, kesenian dan tidak kurang pentingnya ilmu pengurusan. Dalam artikel ini, penulis akan membuktikan bahawa dalam kesusasteraan Melayu terdapatnya elemen pengurusan. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dalam penganalisisan karya sastera tersebut. Pendekatan yang digunakan dalam kajian ini ialah pendekatan pengurusan. Artikel ini menjelaskan pendekatan pengurusan secara komprehensif, iaitu merangkumi definisi dan prinsip pendekatan pengurusan, iaitu perancangan, pengorganisasian, kepimpinan, penstafan serta kawalan. Penganalisisan karya sastera dengan pendekatan pengurusan dilakukan diaplikasikan terhadap dua buah cerita binatang, iaitu "Gergasi Berperang dengan Gajah" dan Hikayat Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam Berlawan dengan Raksasa). Selanjutnya, perbandingan dibuat terhadap kecekapan dan kelemahan kedua-dua organisasi dalam pengurusan untuk kedua-dua cerita binatang ini. Didapati organisasi dalam cerita "Gergasi Berperang dengan Gajah" lebih tersusun dan teratur jika dibandingkan dengan organisasi dalam cerita Hikayat Pelanduk Jenaka (Syeikh Alam Berlawan dengan Raksasa). Kajian dengan pendekatan pengurusan dalam penganalisisan karya sastera bukan sahaja menjadikan kesusasteraan Melayu lebih menarik, bahkan dapat mendidik dan menyedarkan khalayak peri pentingnya pengurusan dalam kehidupan manusia agar tersusun dan efisien.