Peningkatan kes jenayah penipuan tanah dalam pentadbiran tanah amat membimbangkan kerana dapat mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap pejabat tanah. Objektif utama penulisan ini adalah untuk melihat kelompangan yang digunakan dalam proses pendaftaran tanah, seperti Kanun Tanah Negara (Akta 828), Akta Kontrak 1950 (Akta 136), Akta Surat Kuasa Wakil 1949 (Akta 424) dan Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 783), serta mengemukakan cadangan untuk mengharmonikan akta tersebut dalam usaha untuk mengurangkan kadar jenayah penipuan dalam urus niaga tanah daripada terus berlaku. Oleh itu, pindaan segera kepada akta tersebut amatlah penting demi memberi perlindungan kepada tuan punya tanah dan pihak berkepentingan yang menjadi mangsa disebabkan peruntukan yang sedia ada mungkin tidak menyediakan remedi, perlindungan dan juga skop yang terhad yang menidakkan perlindungan terhadap mangsa penipuan. Kajian kepustakaan dan kaedah analisis kandungan digunakan dalam kajian ini yang meliputi kes yang diputuskan oleh mahkamah, buku dan makalah jurnal. Hasil kajian menunjukkan bahawa terdapat kelompangan dalam akta tersebut yang membolehkan penipuan dalam urus niaga tanah berlaku yang memerlukan pindaan dan penambahbaikan. Penulisan ini mengutarakan beberapa cadangan penambahbaikan untuk menjamin kepentingan dan hak semua pihak yang terlibat.