Pemalsuan dokumen merupakan satu daripada cabaran apabila mengemukakan bentuk keterangan tersebut di mahkamah. Secara umumnya, terdapat pelbagai bentuk pemalsuan dokumen yang berlaku, seperti pemalsuan dokumen perkahwinan, kenyataan palsu daripada saksi dan pemalsuan tandatangan. Dalam kajian ini, pengkaji memfokuskan perbincangan mengenai pemalsuan dokumen perkahwinan. Hal ini dikatakan demikian kerana masih wujud kelompangan terhadap perbincangan kesalahan pemalsuan dokumen perkahwinan di mahkamah syariah Malaysia yang memerlukan kajian yang komprehensif. Oleh itu, objektif kajian ini adalah untuk memperjelas konsep pemalsuan dokumen dan kedudukannya dalam perundangan Islam, menganalisis peruntukan undang-undang menurut perspektif fiqah dan undang-undang Syariah, serta menjalankan kajian kes pemalsuan dokumen perkahwinan di mahkamah syariah Malaysia. Bagi mencapai objektif tersebut, pengkaji menggunakan pendekatan kualitatif, iaitu kaedah analisis dokumen daripada data primer dan data sekunder. Data yang diperoleh kemudiannya dipersembahkan dalam bentuk subtema. Kajian ini dilihat sangat penting bagi melihat bidang kuasa mahkamah syariah apabila mengendalikan kes yang berkaitan dengan pemalsuan dokumen perkahwinan dan secara tidak langsung memberikan pendedahan kepada semua masyarakat Islam di Malaysia tentang kepentingan penjagaan keaslian dokumen perkahwinan bagi tujuan perundangan. Hasil kajian ini juga mendapati bahawa tiada peruntukan khusus bagi kesalahan pemalsuan secara umum, sebaliknya disabitkan di bawah kesalahan menghina mahkamah. Bagi kesalahan pemalsuan dokumen perkahwinan, pesalah boleh dijatuhi hukuman mengikut Seksyen 38 Akta Undang-undang Keluarga. Berdasarkan analisis kajian kes tersebut kadar denda yang dikenakan terhadap pesalah didapati bersifat minimum. Oleh itu, pengkaji mencadangkan agar kajian lanjutan dilakukan dengan melakukan perbandingan antara amalan dan praktis dengan undang-undang sivil dari segi pengendalian kes pemalsuan dokumen perkahwinan dan menganalisis peruntukan yang berkaitan.