Tiada kajian mengenai perubahan semantik yang bertujuan membina prototaip kata pinjaman walaupun banyak kajian telah dilakukan dalam pelbagai bahasa. Oleh itu, kajian ini bertujuan membina prototaip perubahan semantik kata pinjaman Arab, berfokus kepada peluasan maknanya dalam bahasa Melayu. Kajian ini menggunakan metodologi analisis perbandingan kualitatif (QCA) yang dimulakan dengan persoalan kajian bahawa terdapat pola peluasan makna kata pinjaman Arab dalam bahasa Melayu. Untuk menjawabnya, kata pinjaman Arab berlabel dan tidak berlabel Ar, diekstrak daripada Kamus Dewan Perdana (KDP) dan kemudian dirujuk silang dengan kamus bahasa Arab, al-Mu‘jam al-Wasit (MW) bagi mengabsahkan etimologi dan mendapatkan makna perkataan tersebut. Sebagai langkah awal untuk membina prototaip, kata pinjaman Arab yang diekstrak ialah perkataan dengan entri A dan B sahaja. Hasil daripada QCA mendapati bahawa daripada 588 kata pinjaman Arab yang ditemui daripada entri A dan B, hanya 32 yang melalui proses peluasan makna. Peluasan makna ini dapat dibahagikan kepada dua jenis: empat pola takrifan umum dan sepuluh pola takrifan spesifik. Empat belas pola ini menjana dua rumus, iaitu superset dan komplemen relatif. Superset merujuk kepada makna kata pinjaman Arab dalam bahasa Melayu yang diperluaskan, manakala komplemen relatif merujuk kepada kewujudan set unsur makna yang berbeza dalam bahasa Arab. Prototaip ini akan membentuk rumus untuk makna kata pinjaman dalam bahasa Melayu dan mungkin dapat digunakan untuk menganalisis kata pinjaman dalam bahasa lain juga.