Pembelajaran farmakologi semasa tahun praklinikal adalah penting bagi pelajar perubatan untuk membuat pilihan rasional dalam memilih rawatan yang sesuai untuk pesakit pada masa akan datang. Oleh itu, kajian ini menentukan kecukupan dan keberkesanan pengajaran farmakologi dalam program perubatan prasiswazah di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM). Cadangan penambahbaikan kurikulum juga dikenalpasti. Soal selidik dalam talian mengenai persepsi terhadap metodologi pengajaran farmakologi telah diedarkan kepada sejumlah 459 pelajar perubatan dari tahun ke-4 dan ke-5 di PPUKM. Soal selidik meliputi demografi, persepsi tentang pengajaran farmakologi, kaedah pengajaranpembelajaran yang ideal untuk pembelajaran farmakologi, topik farmakologi yang berguna untuk amalan klinikal masa depan, topik farmakologi yang paling menarik dan cadangan untuk penambahbaikan. Peratusan responden adalah 46.4% dan majoriti peserta adalah perempuan (65.7%). Kebanyakan pelajar bersetuju bahawa pembelajaran interaktif lebih membantu daripada kuliah didaktik (88.0%). Seramai tujuh puluh peratus pelajar melaporkan bahawa kuliah farmakologi semasa tahun praklinikal telah membantu semasa tahun-tahun klinikal. Peratusan pelajar yang bersetuju bahawa pengajaran farmakologi semasa praklinikal adalah mencukupi untuk amalan klinikal adalah 47.0%. Tidak ada kaitan antara pembolehubah demografi (jantina, bangsa, tahun pengajian dan latar belakang keluarga perubatan) dan minat di dalam farmakologi (p>0.05). Kesimpulannya, pengajaran farmakologi semasa tahun praklinikal dianggap berkesan dan berguna untuk amalan klinikal pelajar. Lebih banyak sesi pengajaran farmakologi dalam tahun-tahun klinikal telah dicadangkan yang mungkin boleh meningkatkan kecukupan pengajaran