Fenomena alam yang berkaitan dengan maritim, seperti ribut, angin, ombak, taufan, bintang, air pasang, puting anak, gelombang dan arus, banyak ditemukan. Hal ini sangat berkait rapat dengan alam Melayu yang hebat dari aspek maritim. Sehubungan dengan itu, terdapat banyak bukti fenomena alam dalam pantun. Pantun bukan sekadar alat hiburan, gurauan, sindiran atau digunakan di majlis persandingan, tetapi mengandungi banyak falsafah dan akal budi. Kajian lepas tentang pantun Melayu banyak menyentuh aspek flora dan fauna yang terdapat dalam pantun. Makalah ini bertujuan untuk mengkategorikan fenomena alam yang berlaku di lautan dan mendeskripsikan makna pantun berdasarkan pendekatan semantik inkuisitif yang terdapat dalam bidang semantik. Bagi mencapai tujuan tersebut, kajian ini telah mengenal pasti 77 rangkap pantun yang terdapat dalam buku Kurik Kundi Merah Saga: Kumpulan Pantun Lisan Melayu yang mengandungi leksikal yang berkaitan dengan fenomena alam di lautan. Hasil kajian mendapati bahawa masyarakat Melayu terdahulu menganalogikan alam sekeliling (fenomena alam) dengan kehidupan manusia menerusi pantun. Fenomena alam ini dijadikan sebagai metafora dalam pantun menerusi pemerhatian dan pengalaman yang dilalui oleh masyarakat Melayu terdahulu. Pemilihan unsur fenomena alam ini adalah untuk mencungkil falsafah dan akal budi Melayu yang terselit dalam pantun menerusi kajian multidisiplin. Penghasilan pantun bukan sekadar sewenang-wenangnya, tetapi terselit falsafah dan akal budi Melayu di dalamnya.