Kajian ini bertujuan untuk mengukur kesedaran terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan remaja di Malaysia. Tahap kesedaran ini merangkumi elemen pengetahuan, sikap dan tingkah laku pelajar terhadap tenaga boleh diperbaharui. Sorotan kajian lepas mendapati penyelidikan dalam kesedaran berkaitan sumber tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan remaja belum diteroka sepenuhnya di Malaysia. Justeru, kajian ini telah melibatkan seramai 384 orang responden yang terdiri daripada remaja berusia 10 hingga 19 tahun di beberapa buah negeri di Malaysia menggunakan persampelan rawak mudah. Pengumpulan data dilakukan dengan menggunakan kaedah soal selidik menggunakan medium Google Forms dan juga serahan borang soal selidik. Pautan Google Forms yang lengkap dengan kesemua bahagian soal selidik diberikan kepada responden melalui aplikasi Telegram dan WhatsApp. Analisis data secara statistik deskriptif menggunakan perisian SPSS (Statistical Package for the Social Sciences) digunakan dalam kajian ini. Dapatan menunjukkan tahap kesedaran terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui di kalangan responden adalah sangat baik. Ini jelas menunjukkan remaja telah didedahkan sedari awal persekolahan berkaitan sumber tenaga. Ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperluaskan penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui terutama penggunaan tenaga solar menjelang tahun 2040. Sebagai cadangan, reka bentuk kajian kualitatif boleh diaplikasikan bagi menyelidik isu ini pada masa hadapan. Kajian juga boleh dilaksanakan untuk melihat perbezaan tahap pengetahuan dan sikap terhadap sumber tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan remaja Malaysia untuk mendapatkan maklum balas yang lebih tepat dan komprehensif.