Kajian ini bertujuan memahami jangkaan awal ke atas kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman yang dihadapi oleh syarikat Unit Amanah (SUA) di Malaysia yang terlibat dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans Pasifik (CPTPPA) yang telah ditandatangani pada 8 Mac 2018. Oleh kerana CPTPPA akan memberi kesan kepada portfolio aset pelaburan bagi pasaran modal dan pasaran saham, maka SUA perlu membuat persediaan dari segi kekuatan dan kelemahan serta mengenalpasti peluang dan ancaman yang bakal dihadapi. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif melalui temu bual mendalam ke atas pengurus dana. Hasil kajian ini mendapati bahawa SUA perlu menggunakan kekuatan seperti kemahiran analisa pasaran, menghasilkan instrumen kewangan yang menarik, memenuhi permintaan pelabur, dan membuat pelaburan baru merentasi sempadan. Hasil kajian menunjukkan bahawa tiada persediaan yang dilakukan oleh SUA menghadapi CPTPPA disebabkan ketiadaan maklumat terperinci oleh agensi kerajaan. SUA telah mengenal pasti beberapa peluang seperti kenaikan KDNK dan eksport akibat daripada CPTPPA. Antara ancaman yang telah dikenalpasti adalah liberalisasi ke atas pasaran tempatan serta ketiadaan regulasi khusus. Oleh itu, SUAM perlu membuat analisa dan merangka strategi untuk menghadapi CPTPPA.