ABSTRAK: Selaras dengan hasrat kerajaan untuk membangunkan generasi yang mempunyai gaya hidup sihat dan sejahtera, pelbagai usaha telah diambil oleh pihak sekolah untuk membantu melahirkan pelajar yang cerdas, cergas, berakhlak, dan berwawasan, antaranya dengan memfokuskan terhadap faktor psikologi dalam usaha membentuk pelajar yang berdaya tahan. Justeru, kajian ini berusaha untuk mengenal pasti tahap kefungsian keluarga dan ketahanan diri dalam kalangan pelajar. Sebanyak 376 orang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Harian di Zon Utaratelah terlibat dalam kajian ini. Instrumen Family Adaptability and Cohesion Evaluation Scales III (FACES III) digunakan untuk mengukur kefungsian keluarga, dan Resilient Scale (RS) pula bagi mengukur ketahanan diri. Keputusan kajian mendapati tahap kefungsian keluarga responden adalah sederhana, manakala tahap ketahanan diri responden pula adalah tinggi. Dapatan juga menunjukkan bahawa aspek kefungsian keluarga yang baik dapat meningkatkan ketahanan diri belia. Implikasi kajian ini dapat menyumbang terhadap usaha pembangunan pelajar oleh pihak sekolah, kerajaan, serta masayarakat.
KATA KUNCI: Kefungsian Keluarga, ketahanan diri, Sekolah Menengah Kebangsaan Harian
PENGENALANGenerasi muda masa kini tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai bentuk cabaran yang akan mencabar kemampuan dan ketahanan mereka (Zainah et al., 2013;Jamie, 2011). Malah, liputan meluas di media massa berkaitan isu gejala sosial yang melibatkan pelajar sekolah sedikit sebanyak telah mempengaruhi pemikiran masyarakat untuk menganggap golongan ini sebagai liabiliti berbanding aset kepada negara. Ini kerana, beberapa faktor seperti sistem kekeluargaan, sistem pendidikan, daya tahan pelajar yang rendah, dan pegaruh media diambil kira oleh masyarakat (Kementerian Belia dan Sukan, 2015). Justeru, dalam membangunkan pelajar yang berdaya tahan serta mempraktikkan gaya hidup yang sihat, kesihatan fizikal, mental, sosial, dan spiritual amat ditekankan. Kesihatan fizikal merujuk kepada kesihatan tubuh badan. Kesihatan mental adalah melalui pembinaan tingkah laku berdaya tahan. Kesihatan sosial pula menerusi pendidikan yang dapat membentuk individu yang bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, dan masyarakat. Manakala, kesihatan spiritual adalah dengan menerapkan pengukuhan nilai agama dalam diri anak-anak dan pelajar sejak kecil, yang mana ibu bapa turut memainkan peranan penting dalam koteks ini (Kementerian Pelajaran dan Sukan, 2015). Secara ringkasnya, dapat diperhatikan bahawa antara aspek yang perlu ditekankan dalam menghasilkan pelajar yang berkualiti ialah aspek daya tahan dan kefungsian sesebuah keluarga.Pelan Pembangunan Malaysia (2013-2025) menekankan bahawa setiap pemimpin, pendidik, ibu bapa, dan masyarakat mempunyai tanggungjawab dalam memastikan generasi muda mencapai potensi sepenuhnya dalam dunia global yang mencabar. Menurut Zainah et al. (2013) dan Yaakob Daud et al. (2016 ketahanan diri pelajar dalam berhadapan dengan pelbagai isu tingkah laku adalah berkait rapat dengan peranan keluarga yan...