Pantun ialah sumber pemikiran, puisi dan kehidupan orang Melayu. Dalam setiap fasa kehidupan, masyarakat mengungkapkan pantun mereka secara tersendiri bagi menggambarkan fasa tersebut. Oleh itu, makalah ini mengetengahkan keindahan dan keunikan pantun dalam masyarakat Melayu. Makalah ini juga meneliti tentang keunikan pantun kanak-kanak dengan menjejaki pantun dalam semua fasa zaman kanak-kanak; semenjak kelahiran sebagai bayi, kehidupan mereka dalam buaian (selalunya dengan iringan suara ibu, kakak atau nenek, menyanyi pantun usikan) dan berterusan sepanjang zaman awal kanak-kanak dan juga diterapkan dalam permainan mereka. Dalam fasa ini, pantun digunakan dengan lebih serius dengan niat yang lebih bernas untuk menyemai apa-apa yang dianggap oleh masyarakat sebagai tingkah laku yang betul, budi bahasa dan peradaban. Hampir semua pembelajaran melalui pantun ini dilingkarkan di sekeliling rangkap berbentuk dua atau empat baris, rima ab ab dan merupakan medium terbaik yang ditawarkan oleh bahasa itu. Sementara kanak-kanak mengingati kata-kata dalam rangkap pantun itu, mereka juga mengingati pengajaran dan mesej yang terkandung di dalamnya. Pantun juga memberikan latar belakang atau metafora tentang orang muda dalam melalui kehidupan. Apabila kanak-kanak membesar, pembelajaran menjadi lebih berat kerana maknanya lebih jelas. Di samping itu, apabila perasaan mereka berkembang, pantun mengiringi lelaki dan wanita muda dengan lebih romantis dengan penampilan fungsi pantun paling terkenal yang digunakan dalam fasa ini. Perkara ini merupakan fasa utama dalam kehidupan, dan pantun menjadi medium yang digemari kerana memberikan ruang kepada semua fasa kehidupan ini.