“…Penggunaan partikel wacana 'lah' telah banyak dikaji oleh penyelidik bahasa sehingga menghasilkan pelbagai interpretasi kehadiran unsur tersebut dalam sesuatu ujaran. Antara hasil interpretasi tersebut termasuklah interpretasi yang melibatkan dimensi interpersonal, kognitif dan struktural (Ismail & Sarudin, 2021), sebagai kaedah meluahkan perasaan dan fikiran serta identiti pelajar (Lee & Ahn, 2020), menggambarkan situasi seseorang yang kurang cekap dalam berbahasa Inggeris (Goh, 2016;Lee & Ahn, 2020), salah satu cara mengelakkan salah faham, membawa makna kejengkelan, perasaan tidak puas hati, menggambarkan rasa kesal, sindiran, keramahan dan penegasan (Hoogervorst, 2018), meningkatkan atau merapatkan jarak sosial (Tay et al, 2016), menunjukkan pengaruh kemelayuan dan gambaran sikap penutur terhadap topik (Jaafar, 2016), mewujudkan persetujuan, penerimaan, sindiran, ketidaksetujuan, rasa kesal, salah satu cara untuk menyoal seseorang yang mempunyai darjat lebih rendah dan menghindari daripada berlakunya konflik (Hei, 2015), menyatakan perselisihan, penolakan, perasaan tidak selesa, memujuk, mencadangkan dan menerima (Mohd Nor, Zamri, & Awab 2015), membawa makna "Saya rasa anda boleh tahu apa yang ingin saya katakan" (Besemeres & Wierzbicka, 2003), membawa makna emosi, kesantunan, rasa tidak selesa, sindiran, menyampaikan maklumat dan tafsiran awal (Goddard, 1994), dan akhir sekali menegaskan, menarik perhatian, memberi arahan, mewujudkan kesepakatan dan kerjasama semasa interaksi (Gupta, 1992).…”