Nekrosis retina akut adalah penyakit yang jarang sekali berlaku, tetapi jika terjadi, ia mengakibatkan kebutaan dan biasanya melibatkan orang dewasa. Walau bagaimanapun, dalam laporan ini, kami ingin mengutarakan pengenalpastian, rawatan dan hasil rawatan penyakit ini yang dialami seorang gadis sihat yang berumur 13 tahun. Pesakit ini datang untuk konsultasi dengan aduan kabur penglihatan pada mata kanan yang juga merah dan sakit. Pemeriksaan mata menunjukkan optik disk bengkak dan retina pucat. Kelihatan juga tompoktompok keradangan retina dan pendarahan di pertengahan pinggiran saraf mata, di samping retina lekang. Keradangan yang melarat dengan begitu pantas dalam masa empat hari dan pembentukan katarak menyukarkan lagi diagnosa dan proses rawatan. Walaupun demikian, rawatan anti virus tetap dimulakan dengan sertamerta sementara menunggu keputusan ujian 'polymerase chain reaction' ke atas cecair vitreous, di mana virus Herpes Simplex-1 telah dikenalpasti. Keradangan bertambah pulih, tetapi komplikasi pendarahan vitreous berlaku. Berikutan itu, laser pada retina telah diberi. Oleh itu, adalah penting untuk ditegaskan bahawa nekrosis retina akut pada dasarnya adalah diagnosa klinikal dan perlu dikenalpasti seawal yang mungkin, lebih-lebih lagi jika melibatkan kanak-kanak supaya rawatan yang sewajarnya dapat diberi dengan segera. Komplikasi yang timbul juga perlu ditangani dengan sewajarnya secepat mungkin untuk meningkatkan peluang memelihara penglihatan yang baik.