Kemajuan teknologi maklumat berteraskan rangkaian jalur lebar antarabangsa telah mengubah komunikasi konvensional kepada komunikasi moden dalam talian. Komuniti dalam talian yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira usia, gender, pendidikan dan status yang dilihat menggunakan bahasa dan menukar makna sesuatu kata dengan sewenang-wenangnya. Sesuatu kata yang digunakan oleh komuniti ini ada kalanya menjadi tular secara drastik dan meluas. Oleh itu, makalah ini meneliti kata-kata yang tular di media dalam talian dengan memanfaatkan Teori Tangan Ghaib oleh Keller (1994). Kajian ini juga menggunakan tiga buah kamus terpilih, iaitu A Malay-English Dictionary oleh Wilkinson (1901), Kamus Bahasa Melayu oleh Windstedt (1960), dan Kamus Dewan Edisi Keempat (2007) dalam memperlihatkan kepelbagaian makna menerusi masa dan enjin carian Google Trends untuk melihat trend carian popular netizen. Hasil kajian mendapati kesemua kata yang tular di media dalam talian berubah makna dan menyimpang daripada maksud asalnya di dalam kamus. Perubahan ini lazimnya disebabkan oleh perbezaan dalam sesebuah masyarakat daripada faktor sekeliling seperti sosioekonomi, sosiopolitik dan sebagainya. Oleh itu, kajian berkenaan perubahan bahasa masyarakat ini dapat menyumbang kepada pemerian makna baharu dalam kamus yang memberikan impak kepada pertambahan khazanah makna dalam kosa kata masyarakat dan menjadi pendokumentasian penting dalam memartabatkan bahasa negara bangsa.