“…Sumber dokumen teks terdiri daripada sumber primer iaitu rekod-rekod sebenar yang bersifat asli yang menerangkan sesuatu peristiwa yang telah berlaku pada masa lampau seperti manuskrip, rekod rasmi kerajaan, surat dan sebagainya, manakala sumber sekunder merupakan pembentukan teks daripada interpretasi dan pengalaman orang lain yang menerangkan sesuatu peristiwa lepas seperti buku sejarah dan ensiklopedia (Fitzgerald, 2009;Maffia, 2019;Newmann, 2001;Sandwell, 2008). Sumber dokumen teks juga telah diklasifikasikan sebagai sumber yang diterbitkan iaitu bahan yang kerap digunakan oleh ahli sejarah dan masyarakat umum seperti buku sejarah, majalah, surat khabar, ensiklopedia dan sebagainya yang diletakkan untuk pinjaman dan dimuat turun oleh pengguna sama ada dalam bentuk analog mahupun dalam bentuk digital, manakala sumber yang tidak diterbitkan merupakan bahan yang jarang-jarang digunakan oleh ahli sejarah dan masyarakat umum seperti surat peribadi, diari, jurnal, dokumen lama, manuskrip lama, rekod kerajaan dan sebagainya yang disimpan rapi dalam koleksi khas di Arkib (Lamb, 2014;Malkmus, 2008;Brown & Dotson, 2007;Library of Congress, 2018;Singleton & Giese, 1999).Terdapat ribuan koleksi sumber dokumen teks bertulis yang berpotensi digunakan dalam proses pengajaran pembelajaran mata pelajaran sejarah seperti rekod keluarga, rekod banci, wasiat, rekod tanah perkuburan, rekod kelahiran dan kematian, surat khabar, rekod mahkamah, buku sejarah, rekod tentera, rekod perniagaan dan industri, dan rekod kerajaan tempatan (Sandwell, 2008;Hendry, 2007;Lamb, 2013;Huistra & Mellink, 2016).…”