Isu beban tugas berlebihan di kalangan pendidik telah menghasilkan penciptaan e-WLOAD, sistem pengagihan beban tugas pensyarah (pengajaran dan pengurusan) bagi mengatasi masalah ketidak-seimbangan beban tugas dan kepakaran dalam organisasi. Walaupun terdapat pelbagai sistem dan aplikasi bagi proses pengagihan tugas di pasaran, namun ianya tidak mengkhususkan kepada bidang pendidikan yang melibatkan pelbagai sumber pengetahuan dan proses yang kompleks. Pembentangan ini memfokuskan kepada kejuruteraan keperluan bagi penghasilan keperluan fungsian sistem. Proses yang terlibat adalah elisitasi dan analisis keperluan menggunakan teknik penilaian dokumen dan temubual, membina spesifikasi keperluan dan validasi spesifikasi. Dapatan akhir proses berupaya menggariskan secara terperinci keperluan fungsian sistem dari perspektif proses dan data yang terlibat. Sistem e-WLOAD mampu mencadangkan pensyarah yang bersesuaian bagi kursus berdasarkan kriteria bidang kepakaran dan kelayakan, skor kekerapan dan beban kredit pengajaran seterusnya mampu menjana jadual beban tugas pengajaran jabatan yang menitik beratkan keseimbangan beban kredit antara pensyarah dan sela masa semester pengajaran. Sistem juga mampu mencadangkan pensyarah bagi tugas pengurusan sesuai dengan kelayakan, kepakaran dan beban semasa.