Dalam era moden ini kemajuan ilmu sains dan teknologi menjadi semakin pesat kerana munculnya pelbagai penemuan yang banyak memberi manfaat kepada manusia. Hampir semua aspek kehidupan manusia berkait rapat dengan sains dan teknologi. Jika dibandingkan penemuan teknologi tersebut, perkembangan teknologi dalam bidang perubatan dilihat sangat memberangsangkan. Melalui pengetahuan dan penggunaan teknologi perubatan yang sangat maju, maka diagnosis mengenai suatu penyakit dapat dilakukan dengan lebih sempurna. Hasilnya rawatan penyakit dapat dipraktikkan secara lebih efektif. Bahkan perhitungan saat kematian penderita penyakit tertentu dapat dilakukan secara lebih tepat. Kini, hasil daripada perkembangan dan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi terutamanya kemajuan dalam bidang perubatan, nyawa manusia telah dapat dilanjutkan dengan menggunakan ubatan atau alat pernafasan moden. Manusia seakan-akan dapat menentukan sama ada ingin mematikan atau menghidupkan seseorang pesakit. Dengan perkembangan teknologi dalam bidang perubatan ini, tidak mustahil ia bakal mengundang masalah yang rumit. Keadaan ini menimbulkan beberapa isu tentang kematian yang dikaitkan dengan euthanasia yang bermakna kematian dengan aman tanpa kesakitan. Euthanasia boleh dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu euthanasia aktif, euthanasia pasif, voluntary euthanasia, non-voluntary euthanasia dan involuntary euthanasia. Dalam Islam misalnya, kepercayaan bahawa kehidupan dan kematian manusia adalah ditentukan oleh Allah dan manusia tidak menpunyai hak untuk menamatkan hidupnya sendiri. Jelaslah isu euthanasia menerima bantahan yang tegas daripada para ulama dan syariah Islamiah. Oleh itu, isu euthanasia bukan melibatkan kebajikan pesakit sahaja tetapi juga melibatkan sensitiviti ahli keluarga, ahli perubatan, agama dan lain-lain. Dengan ini, isu euthanasia harus diuruskan secara teliti supaya ia tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.