Perkataan Melayu seringkali dirujuk kepada kawasan Kepulauan Melayu yang luas merangkumi Kepulauan di Asia Tenggara. Namun, takrifan yang tepat mengenai orang Melayu sering menjadi perdebatan hingga menimbulkan kekeliruan asal usulnya. Kajian ini menghujahkan bahawa identiti orang Melayu boleh dikenalpasti melalui bahasa, budaya dan ekonominya. Artikel ini juga bukan bertujuan membuktikan siapakah Melayu sebenar atau asal usul Melayu. Ia bertujuan untuk ekplorasi naratif orang Melayu di Kota Medan, Sumatera Utara tentang representasi identiti mereka sebagai Melayu. Juga pandangan mereka terhadap orang Melayu di luar kumpulan mereka termasuk Melayu dari Malaysia. Kaedah diskusi kumpulan fokus dengan lapan orang responden dijalankan dengan berpandukan Teori Identiti Sosial untuk mencapai objektif kajian. Hasil kajian mendapati orang Melayu di Sumatera Utara mempresentasikan diri mereka sebagai Melayu mengikut daerah tempat tinggal, mengidentifikasikan diri mereka berdasarkan bahasa dan membuat perbandingan dengan Melayu di Malaysia dari segi adat resam, hubungan Kesultanan Deli, sejarah penjajahan, ekonomi dan penggunaan bahasa Melayu seharian. Dari tema perbandingan ini, tiga yang pertama iaitu adat resam, hubungan kesultanan Deli dan sejarah penjajahan mempunyai persamaan dengan orang Melayu di Malaysia. Manakala, aspek ekonomi dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar seharian adalah berbeza. Sungguhpun terdapat persamaan antara Melayu Sumatera Utara dan Melayu di Malaysia, majoriti responden tidak menganggap Melayu di Malaysia sebagai in-group atau boleh disamakan seperti mereka. Dalam masa yang sama responden juga tidak mempunyai stereotaip (out-group) terhadap Melayu di Malaysia. Hal ini agak bertentangan dengan premis Teori Sosial Identiti yang menekankan bahawa kumpulan masyarakat akan memilih sama ada menerima atau menolak kumpulan masyarakat yang lain berdasarkan persamaan atau perbezaan yang mereka miliki. Bagaimanapun, responden kajian ini tidak memilih kedua-duanya.