Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti hubungan Kursus Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku dengan keberkesanan pengurusan tingkah laku bermasalah semasa praktikum dalam kalangan siswa guru. Kajian ini melibatkan 279 orang siswa guru dari IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur. Instrumen yang digunakan dalam kajian ini ialah Instrumen Kursus EDUP3043 (8 items) dan Instrumen Pengurusan Tingkah Laku Murid (20 items). Data yang diperoleh dianalisis dengan menggunakan Statistical Package for the Social Science (SPSS) version 21.0. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara tahap penguasaan ilmu pengetahuan EDUP3043 dengan kemahiran pengurusan tingkah laku murid secara keseluruhan di mana r=.656, p<.01. Selain itu, dapatan kajian menunjukkan konstruk penguasaan ilmu pengetahuan Kursus Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku menyumbang sebanyak 43.0% ke atas konstruk kemahiran pengurusan tingkah laku murid bagi siswa guru yang dikaji. Dapatan ini menunjukkan penguasaan ilmu pengetahuan pengurusan bilik darjah dan tingkah laku semasa di IPG dapat menyediakan siswa guru untuk kemahiran pengurusan tingkah laku murid yang lebih berkesan. Ini menggambarkan bahawa siswa guru yang telah mengikuti Kursus Pengurusan Bilik Darjah dan Tingkah Laku (EDUP3043), mempunyai keyakinan yang tinggi dan dapat mengaplikasikan ilmu yang telah dipelajari dalam pengurusan tingkah laku bermasalah murid di dalam bilik darjah.