Impak kolonialisme terhadap masyarakat Islam tidak hanya terbatas kepada aspek pentadbiran dan struktur masyarakat sahaja menerusi pelaksanaan undang-undang sekular dan sistem pentadbiran Barat. Lebih utama lagi, kehadiran kolonial British khususnya di Tanah Melayu turut memperkenalkan sistem pendidikan Barat dan ilmu kolonial yang dianggap sebagai sumber pendidikan terbaik dan secocok dengan agenda kemajuan. Bagi memastikan pendidikan Barat diterima oleh masyarakat Melayu yang pada ketika itu sangat cenderung kepada pengajian agama secara tradisional, pihak British telah mencipta naratif yang menggambarkan kelemahan sistem pendidikan tradisional serta pelbagai stigma negatif mengenai sistem pendidikan tersebut. Pertembungan pemikiran antara kelompok ilmuwan peribumi yang menyokong atau menolak pendidikan Barat kemudiannya telah menutup inisiatif ke arah mengkaji semula khazanah dan tradisi keilmuan tempatan. Oleh itu, artikel ini bertujuan untuk menilai kembali naratif yang dibina oleh kolonial British dan sejauh mana naratif tersebut benar-benar menggambarkan realiti yang wujud di Tanah Melayu.