Unsur api yang bersifat dinamik membuatkan pengguna bahasa sering menjadikannya sebagai satu lambang untuk mengungkapkan metafora yang mempunyai sesuatu maksud dan memprofilkan nilai yang tertentu. Kajian ini dijalankan untuk menjelaskan maksud yang didukung oleh metafora api dan nilai yang diimplikasikan oleh metafora api serta menghuraikan proses penginterpretasian metafora api. Secara khusus, kajian ini memperlihatkan proses penginterpretasian yang berlaku ketika memproses maksud metafora api yang akhirnya membolehkan nilai api dalam konteks metafora ditafsirkan dari perspektif pemikiran Melayu. Bagi mencapai tujuan ini, kaedah analisis kandungan dimanfaatkan dan data yang dijana daripada Korpus Dewan Bahasa dan Pustaka dianalisis dengan menggunakan Model Hibrid Baharu oleh Stöver (2010). Model Proses Tiga Serangkai yang lebih bermodular dan bersistematik dicadangkan dalam model ini. Sebanyak 2400 konkordans leksikal bersumberkan api telah diteliti dan terdapat 94 data yang dikenal pasti sebagai metafora api. Dapatan kajian menunjukkan bahawa metafora api digunakan untuk memerihalkan emosi, menjelaskan intensiti emosi, menambahkan kesan afektif dan mengkritik keadaan, sikap atau perbuatan individu. Berdasarkan data yang dianalisis, didapati bahawa frekuensi metafora api yang mengimplikasikan nilai negatif ialah 63.9%, manakala frekuensi nilai positif sebanyak 36.1%. Pengkategorian nilai ini ditentukan oleh kolokasi dan konteks metafora yang dibicarakan. Ternyata, faktor agama, budaya dan sosial memberikan pengaruh yang besar kepada orang Melayu dalam memberi persepsi terhadap api. Kajian ini diharapkan dapat memberikan input baharu tentang kekuatan prosedur penginterpretasian metafora yang menekankan pertimbangan semantik kognitif dan pragmatik yang lebih sistematik bagi mencungkil maksud metafora dan mencerakin nilai yang dimanifestasikan oleh leksikal api dan gugusan leksikal api.