Peruntukan undang-undang keluarga Islam menyebut apa-apa aset yang diperoleh dalam tempoh perkahwinan boleh dituntut sebagai harta sepencarian. Namun begitu, status hak cipta sebagai harta sepencarian masih menjadi perdebatan. Oleh itu, objektif kajian bertujuan mengenal pasti konsep hak cipta sebagai harta sepencarian menurut perspektif perundangan syariah dan menganalisis status hak cipta sebagai harta sepencarian menurut pendapat ahli dan pengamal perundangan syariah. Reka bentuk kajian adalah secara kualitatif, iaitu analisis dokumen dan temu bual separa berstruktur. Data diperoleh melalui statut hak cipta dan harta sepencarian di Malaysia, fiqh empat mazhab sunni serta temu bual bersama-sama pengamal perundangan syariah, ahli hak cipta dan ahli agamawan. Dapatan kajian mendapati Islam mengiktiraf status hak cipta dalam harta sepencarian. Hak cipta juga termasuk dalam kategori harta tidak ketara yang boleh dituntut sebagai harta sepencarian jika dimiliki dalam tempoh perkahwinan atau dikembangkan dalam tempoh perkahwinan dengan melihat pada faktor sumbangan pihak suami dan isteri dalam perolehan harta tersebut. Hasil temu bual mendapati para informan menyokong teori hak cipta sebagai harta sepencarian. Implikasi kajian ini memberikan sumbangan dalam kajian ilmu syariah dan boleh dirujuk oleh mahkamah syariah dan sivil untuk menangani masalah hak cipta sebagai harta sepencarian. Kajian juga mencadangkan penggubalan undang-undang berkaitan dengan hak cipta dan harta sepencarian berkenaan harta yang boleh dituntut sebagai harta sepencarian.