Artikel ini adalah berdasarkan kepada satu kajian yang dijalankan dengan tujuan untuk membangunkan dan mengaplikasi keromong elektronik yang dinamakan GaMelLED Keromong. Fokus artikel ini adalah untuk membincangkan kaedah pensampelan audio keromong yang merupakan salah satu fasa yang digunakan dalam kajian. Sampel audio memainkan peranan penting bagi GaMelLED Keromong kerana dapat memberi impak dalam pengaplikasian alat bersama karya kreatif yang dipersembahkan. Kajian ini dilaksana melalui pendekatan practice-led research yang mana proses kreatifnya meliputi kaedah-kaedah yang merangkumi seperti (a) analisis media; (b) cuba jaya; (c) rakan kritikal; dan (d) jurnal refleksi. Dapatan kajian ini mendapati bahawa pensampelan audio yang dinamakan Kaedah Pantul dapat meningkatkan kualiti sampel audio keromong dari aspek pengurangan frekuensi bising di sekitar 125 Hz - 8 kHz, kualiti pelarasan yang lebih tepat tanpa suntingan digital dan nada yang lebih jelas. Hasil kajian dapat menyumbang kepada kaedah baharu bagi pensampelan audio keromong terhadap elemen teknikal rakaman menggunakan peralatan yang minima dengan hanya memanipulasikan posisi keromong yang dirakamkan.