Stilistik merupakan ilmu tentang gaya yang dihubungkan dengan pemakaian bahasa. Dalam mencipta karya sastera, pengarang ghalibnya menggunakan stilistik sebagai medium utama yang berbentuk falsafah dalam menyampaikan mesej, idea dan pandangan hidup dunia penulisannya. Rentetan itu, kajian ini memfokuskan analisis stilistik dalam novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin dengan menggunakan Prinsip Stilistik Weber (1989). Oleh hal yang demikian, terdapat tiga objektif utama dalam kajian ini, iaitu mengenal pasti gaya stilistik perbandingan, mengenal pasti gaya stilistik penyirnaan yang terdapat dalam novel Pantai Kasih dan mengenal pasti gaya stilistik pertautan menerusi novel Pantai Kasih. Penganalisisan data pula adalah secara kualitatif yang melibatkan analisis terhadap teks novel Pantai Kasih. Sehubungan dengan itu, berdasarkan kajian yang telah dijalankan, hasil kajian mendapati bahawa sememangnya terdapat gaya stilistik yang diketengahkan dalam novel Pantai Kasih termasuklah gaya stilistik perbandingan yang merangkumi personifikasi, metafora dan simile. Manakala gaya stilistik penyirnaan pula hanya merangkumi sinkope dan akronim, dan gaya stilistik pertautan pula hanya meliputi alusi sahaja. Akhir sekali, kajian stilistik ini diharapkan mampu menjadi wadah bagi memartabatkan bidang stilistik sebagai satu jiwa dalam dunia pendidikan sastera Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana bidang stilistik bukan sahaja menonjolkan kesenian bahasanya malah turut menjadi penanda aras dalam pembentukan moral dan etika dalam kalangan masyarakat.