Akta Orang Kurang Upaya 2008 yang berkuat kuasa pada 7 Julai 2008 menunjukkan komitmen negara untuk membantu golongan orang kurang upaya (OKU). Objektif akta ini yang mengiktiraf kepentingan kebolehcapaian OKU terhadap persekitaran fizikal, sosial, ekonomi dan budaya, kesihatan dan pendidikan serta maklumat dan komunikasi yang membolehkan mereka upaya mengambil bahagian secara penuh dan berkesan dalam masyarakat. Hak OKU tidak boleh dilihat secara berasingan dengan prinsip hak asasi manusia. Hak asasi manusia dalam perspektif yang lebih luas telah menjadi semakin penting dalam dunia hari ini. Akta ini telah berjaya menukar konsep kebajikan kepada konsep hak bagi golongan OKU di Malaysia. Walaupun akta ini boleh disifatkan sebagai menyokong hak OKU, akta tersebut masih lemah dari segi penguatkuasaannya, walaupun telah digubal 14 tahun yang lalu. Oleh itu, makalah ini akan mengkaji dan membincangkan secara kritis perkembangan perundangan mengenai golongan OKU di Malaysia. Perkara ini berdasarkan fakta bahawa undang-undang merupakan komponen penting dalam usaha merealisasikan hasrat untuk melihat golongan OKU dilayan secara adil seperti individu yang berkeupayaan. Konsep kesaksamaan ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana akta ini termaktub sebagai kebebasan asasi yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.