Tujuan - Kajian lepas membuktikan bahawa pelajar-pelajar pintar cerdas memiliki tingkah laku unik yang boleh membantu meningkatkan pencapaian mereka. Kajian ini bertujuan meneroka tingkah laku unik pelajar pintar cerdas yang ditunjukkan semasa berada di rumah, proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas, dan pergaulan bersama rakan di sekolah.
Metodologi - Kajian dijalankan menerusi pendekatan kualitatif di Kolej GENIUS@Pintar Negara yang merupakan tempat pengajian pelajar pintar cerdas berbakat akademik dari seluruh Malaysia. Responden terdiri daripada lima orang ibu bapa cerdas, tiga orang pensyarah, dan enam orang pelajar pintar cerdas. Pengumpulan data melalui kaedah temu bual mendalam dan temu bual kelompok mengikut protokol temu bual.
Dapatan - Keputusan menunjukkan tingkah laku unik pelajar pintar meliputi lakuan membaca dalam masa yang lama, suka menyendiri menyiapkan tugasan, suka bertanya sehingga memperoleh jawapan yang konkrit, berhujah untuk mempertahankan jawapan, memberi fokus dalam masa yang lama, dan menyiapkan tugasan melebihi jangkaan.
Signifikan - Kajian ini menjadi panduan kepada ibu bapa, guru-guru dan masyarakat untuk memahami pelajar pintar cerdas dengan lebih dekat lagi seterusnya mengelakkan risiko peminggiran pelajar pintar cerdas. Implikasi terhadap kaedah dan strategi pengajaran guru untuk disesuaikan dengan keunikan tingkah laku pelajar pintar cerdas di sekolah. Kajian seterusnya dicadangkan untuk membincangkan langkah mengatasi tingkah laku negatif pelajar pintar cerdas, membina kurikulum khas pendidikan pintar cerdas dan penerokaan terhadap bidang pintar cerdas.