Masyarakat Dusun tradisional percaya akan adanya pencipta dan yang diciptakan. Segala ciptaan di alam semesta perlu saling menyantuni untuk tujuan keseimbangan dan keharmonian alam. Masyarakat Dusun percaya bahawa bencana alam yang berlaku di kawasan lereng gunung Kinabalu akibat daripada ketidakpedulian manusia terhadap penghuni alam yang lain khususnya yang melibatkan penerokaan tanah pertanian. Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti amalan dan kepercayaan masyarakat Dusun tradisional dalam usaha melestarikan alam sekitar melalui aktiviti penanaman padi. Kajian kualitatif ini menggunakan kaedah temu bual separa berstruktur dan pemerhatian langsung terhadap aktiviti penanaman padi di tiga buah kampung berdekatan dengan lereng gunung Kinabalu, Sabah. Dapatan menunjukkan wujudnya unsur amalan dan kepercayaan dalam fasa pembukaan tanah, penanaman dan penuaian padi. Upacara ritual seperti magawoi, pobobor do boros, madsalud, pasalakoi bambarayon dan sebagainya bertujuan memohon kepada Kinorohingandan semangat-semangat baik untuk memberkati tanah pertanian, menumbuhkan padi dan memberikan hasil yang mencukupi kepada petani. Bentuk amalan dan kepercayaan yang dilakukan oleh masyarakat Dusun tradisional dalam aktiviti pertanian itu dapat membantu mengelakkan penebangan pokok, pembakaran hutan, penggunaan baja kimia dan racun serangga. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan dalam pelestarian alam sekitar. Masyarakat Dusun yang mengamalkan budaya kolektif juga berjaya menerapkan nilai mogitatabang semasa mengusahakan pertanian. Nilai tersebut wajar diterapkan dalam kalangan generasi masa kini sebagai wadah pembinaan model insan koperatif dan kolaboratif selain dapat melestarikan warisan budaya