“…Perubahan satu segmen kepada satu segmen yang lain antaranya melibatkan perubahan vokal /i/ dan /u/ kepada [e] dan [o] seperti dalam dialek Hulu Pahang Purba (Mohd Tarmizi, Rahim & Shahidi, 2011) dan dialek Taiping (Noor Syamshida, Nur Farahkhanna & Nur Faaizah, 2020), vokal /o/ dan /e/ pada suku kata pertama dalam dialek Sarawak masing-masing berubah kepada vokal [u] dan [i] (Sharifah Raihan, 2013) dan kedua-dua vokal ini turut berubah kepada vokal [u] dan [i] di suku kata pertama dalam kata pinjaman bahasa Melayu ke dalam bahasa Jakun (Mohamad Rozi, 2020), vokal /u/ menjadi vokal [ə] dan vokal /u/ menjadi vokal [o] seperti /tutup/ dan /masuk/ masing-masing disebut sebagai [nu.təʔ] dan [ma.soʔ] dalam bahasa Kerinci (Nur Farahkhanna et al, 2015), vokal /o/ menjadi vokal [ɔ] dan vokal /u/ menjadi vokal [o] seperti /dodol/ dan /bisul/ yang masing-masing disebut sebagai [dɔ.doj] dan [bi.soj] dalam dialek Melayu Kabong, Sarawak (Salbia, 2015), vokal /o/ pada awal suku kata berubah kepada vokal [u], seperti /boleh/ menjadi [buleh], dalam dialek Melayu Jugra varian Sungai Buaya, Kelanang dan Pulau Nyatoh (Mumad et al, 2017). Selain itu, perubahan vokal juga dapat dilihat dalam dialek Melaka, iaitu /i/, /o/ dan /a/ berubah kepada vokal [e], [u] (Reniwati, Noviatri, Aslinda & Midawati, 2016) dan suatu varian bahasa (Ernawita, 2019). Malah, bahasa pertuturan masyarakat di Negeri Sembilan, iaitu dialek Negeri Sembilan yang daripada sejarahnya berasal daripada Minangkabau Indonesia (Rahilah Omar & Nelmawarni, 2008) juga mempunyai identiti fonologi distingtif yang tersendiri berbanding dengan bahasa Minangkabau di Indonesia, seterusnya boleh dikatakan bebas daripada pengaruh linguistik bahasa Minangkabau (Idris, Mohammad Fadzeli & Norsimah, 2019).…”